Wednesday, February 16, 2005

Monolog Hati

hampa..
mencari sinar dalam diri..
walau sering aku mencari..
kedamaian..
ketenangan..
keamanan...

Namun
wajah yang datang menerpa..
mencitrakan kerinduan...
harapan sebuah ketandusan..
yang hilang kerana kealpaan..

percayalah..pada hati
sematkan..pada diri
akan ku rawat derita hati.....

Tuesday, October 26, 2004

Rintih Alam

Kuselak jendela usia
menyelinap segala mukjizat
bersama alunan lagu indah
bagai bisikan mengkhayalkan
menduga teguh keimanan

Alam bagaikan hamparan
setitis kehebatan janji firadusi
Namun,
kerana serakah menggila
kerana onar syaitan bertahta
nikmat kasihnya dinodai
segar anugerah dicabuli
oleh buruan haloba
mencabar nilai hakiki

Pasrah aku..
dalam renungan lembah hijau
dicemari gondolan jingga
persihan air dari perut benua
diapung sisa-sisa bisa
tanah terus diratah
merayu simpati manusia
putaran alam terpancung
oleh hentakan pedang khianat
mentera tiada lagi berguna
mengubati luka ini..
yang patah takkan tumbuh..
yang hilang tiada ganti...

Janganlah
kerana amukan kemajuan
khazanah dicungkil
warisan di gadai
darah bumi bukan harta pertaruhan
membina tamadun hanyir
dari tulang belulang kerakusan

alangkah
bebunga tiada lagi berkembang
burung hilang suara kicauan
pungguk tidak dapat rindukan bulan

Dengan rafak syukur..
rentangkan suara kudus..
memohon dari Maha Pencipta..
peliharakanlah warisan buana
bersama gemersik seruling alam
merdu dan syahdu
agar tiada lagi rintihan pilu dan sayu..




Keranamu Hawa

Ku buka lembaran sejarah
mengintai genggaman lembut kudus
jejari insan bernama hawa
menitis darah ke persada juang
demi maruah dan kehormatan

Bisikan Balqis menerjah fantasi
Negarakota terbina penuh kuasa
dengan kejujuran suci
terbuka pintu hijab
mengadap kiblah ilahi
bersama landasan Sulaiman
terjahan suara gemilang
menyeru kebesaran Tuhan
segenap pelusuk alam

Darah tumpah di sula dendam
menyimbah bumi Langkawi
bergema 7 keturunan
sumpah mencengkam akar bumi
Mahsuri perawan setia
kerana nafsu nyawa tergadai

Melestarikan lagenda
kehebatan serikandi
Tun Fatimah dan Dang Anum
mempertahankan maruah bangsa
dengan hunusan keris
terjulang adat budaya

Keranamu hawa
saktimu adalah mukjizat
membelai seisi fatamorgana
dengan kelembutan jiwa
tenang seteangnya


Gelora

Mencari sirna
dalam gelora ilusi
menjenguk pada diri..
kucungkil bisikan tersirat..
penuh kalimat tanpa tutur bicara
pedang emas melintang arah
meruntun jiwa kudus
pahit membunuh sejuta harapan
hilang sebuah erti hidup
tanpa hala yang pasti
kupohon petunjuk
agar diperkenankan satu masa
kutemui denai kebenaran
demi sebuah kemenangan

Air Mata Melayu

Melayu........
Mengapakah
Kita masih di sini
Hamba di bumi sendiri
Realiti ternobat kekuasaan
Pada cengkaman politik umat
Namun....
Kita menghirup kemajuan
dari tulang belulang
bangsa pendatang
bumi ini cukup kaya
dengan ribuan kenikmatan
lantaran kita alpa
terawang awang di kayangan
sebuah kesaksian
ramai tidak semestinya kuat
sedikit tidak semestinya lemah

Melayu...
sirna gemilang masih ada
untuk mengibarkan panji ulungmu
jujungkan kembali maruah
setarakan darjat
nyawa dan jantung kita
bukanlah pada bingkisan dasar
ungkapan politikus
nilai pribumimu
tetapi....
pada keringat kudrat kita
pada harta khazanah kita
pada mercu kuasa kita

Tika ini
Darah melayu terpercik
Hanyir dan menjijikan
menara gading menjadi saksi
empayar kita di hancurkan
tercagar oleh pendatang
anak bangsa terkapai
di lautan kehancuran
budaya warisan ditinggalkan

Gejala sosial,satu amaran
manakah hilang kehormatan
amukan menggila
merempuh dinding peradaban lama
yang harus dipertahankan
dari jerih pengorbanan nenek moyang
tergadai harta dan nyawa

Alangkah
Andaikata melayu terus hanyut
Tanpa hala dan kompas
Ayuh kita galikan liang perkuburan
sisa runtuhan sebuah bangsa
Yang tergadai sebuah nilai

Pulanglah melayu
kepangkal kebenaran
jangan biarkan
anak warisan mendatang
mewarisi
air mata penyesalan

Sumpah Merdeka

Kerana maruah
kita pertahankan bumi kudus ini
dengan titis perjuangan suci
menyatukan sebuah bangsa
di bawah satu nama
di bawah satu bendera
di bawah satu rukun
adalah nadi dan nyawa

Kemerdekaan
menuntut sebuah kebebasan
dari kuku berbisa penjajah
yang mencengkam
dan meninggalkan parut sepanjang zaman

Sumpah Merdeka
marakkan api setia
membakar lembah dan tanjung kita
semerbak dupa perjuangan
demi rumpun bangsa
demi tanah tercinta
untuk warisan mendatang

Kini
racun kolonisme
bukan pada gempuran kudrat
tapi tusukan jarum-jarum
dari lidah dan minda
hilang sebuah pertimbangan
porak peranda alunan kedamaian
Anak muda
terpikat dan ternoda
dalam bisikan syaitan
agenda topeng-topeng penjajah
bagaikan fatamorgana mengasyikkan
namun inilah pedang pembunuh umat
inilah sangkakala kehancuran

Kita masih belum terlena
bangkitlah
dengan iktikad waja
pertahankan kebebasan kita
dengan seruan sumpah merdeka


Lembah Hitam

Lembah ini
adalah seri famorgana dunia,
megah menara batu berkaca,
memancar sirna di suram malam,
bangganya seorang penguasa,
melihat lembah ini terbina,
dari tangan-tangan materilaistik.

Namun,
lembah ini terlalu banyak onak,
menerjah dinding keimanan penguninya,
membunuh kemanusian,
menyiat peri timbangrasa,
penghuninya terus hanyut,
dalam lautan nafsu menggila,
muda mudi terus tenggelam,
menghayati syurga dunia,
menghirup segar bau kemaksiatan,
tiada lagi,
gema laungan terhadap ilahi,
gemersik alunan Al Quran,
Masjid adalah tugu indah,
yang di banggakan,
bukan di hayati.

Lembah ini terus gelap,
penghuninya terus malap,
kebenaran yang bersisa,
harus diperkasakan,
jika ia kelam,
simbahan api neraka,
menjerat pemastautin lembah,
di amuk bencana,
dari Pencipta,

Ayuh,
jangan kita biarkan,
lembah hitam terus suram,
sirnakan dengan cahaya,yang kudus dan tulus,
agar terbangkit seruan,
mengatakan..
lembah ini adalah lembah kedamaian,
lembah putih dan bersih